IMPIAN skuad bawah 23 tahun negara untuk beraksi di Sukan Asia 2026 kini seakan berkecai apabila peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA) secara tidak langsung menutup pintu kepada Malaysia.
Mengikut ketetapan terkini, hanya 16 pasukan yang layak ke Kejohanan AFC B-23 2026 akan mendapat slot automatik ke temasya Sukan Asia 2026 di Aichi/Nagoya, Jepun, sekali gus menjadikan kejohanan itu sebagai laluan tunggal ke pentas Asia.
Namun realitinya, Malaysia gagal menepati kriteria tersebut, dengan hanya Vietnam dan Thailand muncul sebagai wakil Asia Tenggara yang layak, meninggalkan Harimau Muda sekadar menjadi pemerhati di sebalik kejayaan jiran serantau.
Lebih perit, peluang beraksi di Sukan Asia bukan sekadar soal prestij, tetapi platform penting untuk pendedahan antarabangsa, pembinaan mental juara serta pentas mengasah bakat muda menghadapi kejohanan lebih besar.
Kegagalan ini sekali lagi mengundang persoalan tentang hala tuju pembangunan bola sepak usia muda negara, yang dilihat masih belum mampu bersaing secara konsisten di peringkat Asia.
Ketika Vietnam dan Thailand terus melabur besar dalam akademi, sistem liga belia dan pembangunan jurulatih, Malaysia pula dilihat masih tercari-cari formula terbaik, tanpa pelan jangka panjang yang benar-benar berkesan.
Persoalannya kini, adakah FAM sudah bersedia menerima hakikat bahawa kita semakin jauh ketinggalan? Atau perubahan drastik akan dilakukan sebelum lebih banyak peluang antarabangsa terus terlepas dari genggaman?
Peraturan baharu ini mungkin dianggap adil kerana berasaskan merit, namun bagi Malaysia, ia menjadi satu lagi tamparan realiti bahawa tanpa prestasi, tiada tempat di pentas Asia.
Dan jika kegagalan ini terus berulang, sampai bila peminat perlu bersabar melihat Harimau Muda sekadar menjadi penonton di pentas Sukan Asia?