KELAB Kuala Lumpur City bersedia melangkah ke musim baharu Liga Super 2025/2026 dengan semangat baharu apabila jurulatih berpengalaman dari Serbia, Risto Vidakovic kini muncul sebagai calon utama untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan. Nama Vidakovic dipilih selepas mesyuarat penting Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang berlangsung pada Isnin.

Setiausaha Agung KLFA, Datuk Kamarudin Hassan mengesahkan perkara tersebut kepada Flash Sukan, memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara selepas mempertimbangkan pengalaman luas Vidakovic dalam pelbagai liga antarabangsa. Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar serta Penaung KLFA, Datuk Fahmi Fadzil.

“Vidakovic mempunyai pengalaman yang sangat luas dan kita yakin dia mampu membentuk satu pasukan yang kompetitif. Kini hanya tinggal menunggu sama ada beliau menerima tawaran kontrak yang akan diberikan,” ujar Kamarudin. Pengurusan KL City dijangka akan bertemu dengan Vidakovic dalam tempoh terdekat dan sekiranya persetujuan dicapai, beliau akan diumumkan secara rasmi dalam minggu ini.

Nama Risto Vidakovic sememangnya tidak asing dalam kancah bola sepak Asia Tenggara. Pada musim 2022, beliau pernah mengemudi Melaka United dalam Liga Super. Selain itu, beliau turut membimbing kelab-kelab seperti Lion City Sailors (Singapura), PSS Sleman(Indonesia), Ceres Negros (Filipina), serta kelab Sepanyol, Cádiz. Malah, Vidakovic juga pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia sekitar 2006 hingga 2007.

Dalam usaha menstabilkan kewangan kelab, KL City turut bakal melakukan penstrukturan semula terhadap gaji pemain. Menurut Kamarudin, langkah penjimatan ini penting bagi mengelak sebarang isu tunggakan dan mencontohi pendekatan yang diambil oleh pasukan seperti PDRM FC dan Penang FC pada musim lalu. “Gaji pemain akan haya berada dalam lingkungan RM5,000 hingga RM20,000 sahaja musim ini,” jelas beliau.

Beliau menambah, langkah berjimat ini bukan sesuatu yang baharu bagi KLFA, yang turutmengamalkannya ketika era 90-an dan awal 2000-an. “Kita tidak mahu membebankanpasukan dengan komitmen kewangan jangka panjang. Lebih baik kita belanja ikut kemampuan untuk memastikan tiada lagi masalah kewangan selepas ini,” kata Kamarudin yang juga Timbalan Presiden KLFA.

Dalam pada itu, spekulasi mengenai kehadiran beberapa pemain ternama seperti Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba ke KL City masih belum muktamad. Kamarudin menjelaskan bahawa perbincangan dengan kelab asal mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT), masih berjalan. “Tiada kata putus lagi buat masa ini, tetapi kita masih berbincang mengenai syarat pinjamanpemain-pemain terbabit,” katanya.

Turut disebut-sebut akan menyertai skuad warga kota ialah beberapa lagi pemain berprofil tinggi termasuk Adam Norazlin, Syazwan Andik serta bekas benteng kebangsaan, Fadhli Shaas. Sekiranya kesemua perancangan ini menjadi kenyataan, musim 2025/2026 bakal menyaksikan skuad KL City tampil ampuh biarpun dengan pendekatan berjimat.