SKUAD hoki wanita negara masih belum cukup ampuh untuk menyaingi tuan rumah, Poland apabila tewas 0-2 dalam aksi sulung kumpulan A, saingan Piala Negara-Negara (2) Wanita 2025 di Gniezno, awal pagi tadi.

Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang tiga suku permainan, namun dua jaringan lewat perlawanan oleh Sandra Tatarczuk menjadi pemusnah harapan skuad negara untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Ketua jurulatih hoki wanita kebangsaan, Nasihin Nubli berkata, peluang digunakan pemain Poland pada lewat permainan menjadikan kedua-dua pasukan kelihatan berbeza.

Sandra Tatarczuk (merah) meledak dua jaringan ketika Poland menewaskan Malaysia 2-0. FOTO|FIH

“Saya harap pemain beraksi lebih baik esok dan kita akan cuba atasi Afrika Selatan yang tewas 0-2 kepada Uruguay,” kata Nasihin sambil menyifatkan anak didiknya beraksi dengan baik.

Poland bermula garang pada suku pertama gagal memanfaatkan kelebihan penguasaan bola di kawasan bulatan, manakala skuad negara mensia-siakan peluang terbaik pada awal suku kedua.

Nasihin Nubli mahu anak didiknya bangkit pada perlawanan kedua menentang Afrika Selatan, esok.

Anak buah Nasihin tampil lebih agresif pada suku keempat, namun kealpaan di zon pertahanan dihukum Sandra Tatarczuk yang menyudahkan variasi sudut penalti cantik pada minit ke-55 untuk meletakkan Poland di depan.

Penyerang sama menggandakan jaringan seminit sebelum tamat permainan menerusi flick rendah menewaskan penjaga gol negara, Siti Noor Hafiza Zainordin, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh buat tuan rumah.