Canada’s midfielder #07 Stephen Eustaquio (R) celebrates scoring his team’s first goal during the 2026 World Cup round of 32 football match between South Africa and Canada at the Los Angeles Stadium in Inglewood on June 28, 2026. (Photo by Frederic J. Brown / AFP)

Kanada melakar sejarah baharu di pentas Piala Dunia apabila berjaya mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 menerusi gol dramatik pada masa kecederaan di Stadium Los Angeles.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Stephen Eustaquio muncul wira Kanada apabila meledak jaringan kemenangan pada penghujung aksi.

Pemain tengah itu menerima hantaran di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams.

Jaringan tersebut mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan pemain dan penyokong Kanada, sekali gus menutup aksi pusingan kalah mati pertama mereka dengan penuh dramatik.

Kemenangan itu menyaksikan Kanada kini selangkah lebih hampir untuk terus mencipta sejarah apabila bakal berdepan sama ada Belanda atau Maghribi di Houston, Ahad ini bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Jurulatih Kanada, Jesse Marsch memuji semangat juang anak buahnya yang terus berpegang kepada pelan permainan hingga ke wisel penamat.

“Ini adalah hasil daripada dua tahun kita bersama.

“Fikirkan semula bagaimana kita bercakap mengenai berpegang kepada perancangan… anda semua menunjukkan karakter sebenar. Anda semua adalah wira Kanada di sini,” katanya.

Sebelum jaringan kemenangan itu, Kanada terlebih dahulu mencipta beberapa peluang terbaik terutama pada babak pertama.

Situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru hampir membuka jaringan buat Kanada, namun tandukan Moise Bombito berjaya diselamatkan Aubrey Modiba di atas garisan gol.

Beberapa saat kemudian, Tajon Buchanan pula hampir meletakkan Kanada di depan tetapi percubaan jarak dekatnya berjaya dinafikan Williams yang tampil cemerlang di gawang Afrika Selatan.

Kanada turut merayu untuk mendapatkan sepakan penalti selepas Richie Laryea dijatuhkan di dalam kotak penalti, namun pengadil mengekalkan keputusan asal selepas semakan VAR.

Afrika Selatan yang bertahan dengan cukup disiplin sepanjang perlawanan pula hampir berjaya mengheret aksi ke masa tambahan sebelum dihukum pada saat akhir.

Meskipun melancarkan beberapa serangan balas dalam usaha mencari gol penyamaan selepas ketinggalan, skuad Bafana Bafana gagal memecahkan benteng Kanada sehingga wisel penamat dibunyikan.