Photo by KENZO TRIBOUILLARD / AFP
IMPIAN pengadil bola sepak Somalia, Omar Abdulkadir Artan, untuk mencipta sejarah di pentas Piala Dunia 2026 tidak kesampaian selepas beliau dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat.
Artan yang dijadualkan menjadi pengadil pertama dari Somalia yang bertugas di kejohanan terbesar dunia itu dilaporkan ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami pada 6 Jun lalu.
Beliau yang tiba dari Istanbul dengan pasport diplomatik dan visa sah dilaporkan ditolak masuk ke Amerika Syarikat selepas pemeriksaan CBP. Beliau kemudian dihantar pulang ke Istanbul atas alasan “kebimbangan keselamatan”.
Keputusan itu mencetuskan reaksi daripada kerajaan Somalia dan Persekutuan Bola Sepak Somalia yang segera mendapatkan penjelasan daripada FIFA serta pegawai Somalia menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana ia menjejaskan prinsip merit dan semangat kesaksamaan yang menjadi asas sukan bola sepak antarabangsa.
Artan bukanlah nama asing dalam arena pengadilan bola sepak Afrika. Beliau dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik Afrika oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) bagi tahun 2025 dan turut mengendalikan beberapa perlawanan berprofil tinggi termasuk aksi akhir Liga Juara-Juara CAF. Prestasi cemerlang itu melayakkan beliau dipilih sebagai salah seorang daripada 52 pengadil untuk Piala Dunia 2026.

Omar Abdulkadir Artan dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik Afrika 2025 oleh CAF. (Sumber Gambar: YouTube)
FIFA mengesahkan Artan tidak dapat bertugas di Piala Dunia 2026 selagi isu kemasukannya ke Amerika Syarikat tidak diselesaikan. FIFA turut menjelaskan urusan imigresen berada di bawah kuasa negara tuan rumah.
Bagi Somalia, kehilangan Artan di Piala Dunia 2026 bukan sekadar kehilangan pengadil, tetapi juga peluang mencipta sejarah. Beliau yang pernah diiktiraf sebagai antara pengadil terbaik Afrika menjadi inspirasi kepada ramai, menjadikan insiden ini antara kontroversi besar menjelang kejohanan.