Belgium bertekad membuka kempen Piala Dunia 2026 dengan keputusan positif, namun jurulatih Rudi Garcia menegaskan pasukannya tidak boleh memandang rendah cabaran yang bakal diberikan Mesir dalam aksi pembukaan Kumpulan G, awal pagi esok.

Pertembungan dua pasukan yang dianggap pencabar utama kumpulan itu dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan teratas, sekali gus memberi laluan lebih baik menjelang pusingan kalah mati.

Garcia berkata Belgium perlu menampilkan prestasi terbaik jika mahu mengatasi pasukan Mesir yang disifatkannya sebagai antara skuad paling berkualiti pernah dimiliki benua Afrika.

“Kami akan memberi tumpuan kepada kekuatan kami, kami mahu menjadi pasukan yang menguasai permainan.

“Kami benar-benar perlu memberikan segala-galanya esok seolah-olah ia adalah perlawanan final,” katanya.

Pengendali berusia 62 tahun itu turut mengakui Mesir memiliki ramai pemain berpengaruh termasuk Mohamed Salah dan Omar Marmoush, selain mempunyai organisasi permainan yang mantap terutama di bahagian pertahanan.

“Ia adalah antara skuad terbaik Afrika sepanjang zaman,” katanya.

Bagaimanapun, Garcia percaya setiap pasukan mempunyai kelemahan tersendiri dan Belgium perlu memanfaatkan ruang yang ada untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan.

Belgium hadir ke Piala Dunia kali ini dengan misi menebus kekecewaan selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan pada edisi 2022 di Qatar.

Justeru, Garcia mengambil pendekatan realistik dengan menegaskan fokus utama pasukannya adalah untuk melepasi saingan kumpulan terlebih dahulu sebelum memikirkan sasaran lebih besar.

“Ia perlu dilakukan selangkah demi selangkah – mara melepasi peringkat kumpulan, tetapi kami mahu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan,” katanya.

Aksi menentang Mesir juga bakal mencatat sejarah tersendiri buat Garcia yang akan mengendalikan pasukan dalam perlawanan pertamanya di pentas Piala Dunia, selain menyaksikan Youri Tielemans memimpin Belgium sebagai kapten dalam kejohanan utama buat kali pertama.

Sumber Gambar: Facebook/Belgium Red Devils