CALON Naib Presiden (Wanita) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) Zaidatul Syukriah Abdul Malik positif untuk menyumbang tenaga dan idea baharu dalam persatuan sekiranya menang pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang bakal berlangsung 25 Januari ini.

Selepas hampir sebulan AGM PHKL ini ditanggung berikutan isu dalaman, Sabtu ini bakal menyaksikan calon-calon bertanding merebut kedudukan utama dalam persatuan.

Menurut Zaidatul, dia berharap AGM akan berlangsung dengan lancar dan optimis untuk merebut kerusi naib presiden bagi mereasasikan beberapa agenda penting sukan hoki Kuala Lumpur.

“Saya tidak sabar untuk bertanding memandangkan yang sebelum ini ditangguhkan. Yang pasti sekiranya saya menang posisi yang saya dicalonkan tumpuan utama saya adalah untuk memberi fokus kepada pasukan hoki wanita Kuala Lumpur.

“Program akar umbi akan terus diberi perhatian selain daripada menghantar pemain wanita yang berpotensi untuk bermain di kelab luar negara. Ini bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dan melahirkan pemain wanita dari Kuala lumpur yang lebih kompetatif,matang dan berkemampuan mewakili negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Zaidatul,36,  yang juga merupakan pemain dan jurulatih di Hockacademy Junior Development memberitahu, semua pemain di bawah Persatuan Hoki Kuala Lumpur akan ditawarkan untuk perlindungan insuran.

“Kami akan menyediakan insuran kepada semua pemain tanpa mengira usia, terutamanya bagi pasukan wanita.

“Saya ingin melihat lebih ramai lagi pemain-pemain wanita terlibat dalam sukan hoki, seiring dengan kemahuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mahu mengangkat golongan wanita  ke tahap lebih baik dalam bidang sukan.

“Untuk itu, kita perlukan ‘pool’ pemain muda yang besar, bermula di peringkat akar umbi untuk diketengahkan ke platform yang lebih baik,” tambahnya.

Kerusi naib presiden (wanita) bakal menyaksikan persaingan dua penjuru di antara Zaidatul Syukriyah Abd Malik berdepan dengan Hebzibah Sudin.