PEMAIN tengah pasukan Perancis, N’Golo Kante mengakui bimbang dengan kecederaan patah hidung yang dialami Kylian Mbappe ketika beraksi menentang Austria pada perlawanan hari pertama Kumpulan D Euro 2024.

Perancis menang 1-0 ketika menentang Austria di Merkur Spiel-Arena Dusseldorf hasil jaringan sendiri Maximilian Wober pada separuh masa pertama.

Malangnya, Mbappe mengalami kecederaan menjelang penghujung perlawanan. Hidung Mbappe berdarah selepas berlaga dengan pemain pertahanan Austria, Kevin Danso.

Selepas menerima rawatan daripada pasukan perubatan, Mbappe akhirnya dibawa keluar semasa masa kecederaan. Hidung pemain baharu Real Madrid itu dilaporkan patah.

Kante mengakui bahawa dia sangat bimbang dengan kecederaan Mbappe. Dia berharap rakan sepasukannya dapat kembali ke padang tidak lama lagi.

“Kami bimbang melihat Kylian meninggalkan padang (dengan kecederaan hidung). Kami tidak tahu apa keadaannya, tetapi kami mahu melihatnya kembali tidak lama lagi,” kata Kante kepada EURO2024.com.

Kante tampil sangat mengagumkan di bahagian tengah selepas sekian lama tidak hadir memperkuatkan pasukan kebangsaan Perancis. Pemain berusia 33 tahun itu juga dipilih sebagai Man of the Match.

“Terdapat sedikit kebimbangan, tetapi ia bagus untuk bermula bersama dan mendapatkan kembali perasaan itu

“Semuanya berjalan lancar. Kami adalah manusia. Kami berjuang bersama untuk mencapai keputusan dan kami akan terus melakukannya,” kata Kante.