AHLI Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia mempertimbangkan peletakan jawatan secara beramai-ramai sekiranya langkah itu dianggap paling sesuai bagi mengelakkan badan induk bola sepak negara daripada dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara itu disahkan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang menjelaskan isu berkenaan dibincangkan dalam pertemuan bersama barisan Exco di Petaling Jaya, hari ini.
Menurut beliau, FAM mengambil maklum kenyataan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memaklumkan situasi melibatkan badan induk itu sedang dipantau rapi oleh FIFA, sekali gus mendorong FAM untuk meneliti beberapa pilihan bagi melindungi masa depan bola sepak negara.
Bagaimanapun, Yusoff menegaskan bahawa setakat ini belum ada mana-mana ahli Exco yang melepaskan jawatan, dengan perbincangan lanjut akan diteruskan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi
“Kita memanggil semua Exco yang sempat hadir untuk membincangkan hala tuju FAM selepas kenyataan AFC itu. Kita mendengar pandangan semua Exco dan sedang menilai beberapa pilihan yang ada,” katanya.
Tambah beliau, antara keutamaan perbincangan adalah memastikan FAM tidak dikenakan tindakan penggantungan, dan keputusan akan dibuat dalam tempoh terdekat tanpa menunggu keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Kita ada dua atau tiga pilihan, dan salah satu daripadanya adalah cadangan untuk meletakkan jawatan. Namun buat masa ini, tiada keputusan dibuat kerana kita perlu meneliti semua implikasi sebelum membuat kata putus,” jelasnya.
Yusoff menegaskan sebarang keputusan kelak akan dibuat secara sebulat suara oleh Exco demi kepentingan bola sepak negara.
“Jika peletakan jawatan itu adalah pilihan terbaik, kita bersedia membuat keputusan secara bersama kerana kita bersatu sebagai Exco,” katanya.
Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan barisan kepimpinan FAM untuk mengambil langkah drastik sekiranya perlu, bagi memastikan kelangsungan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa tidak terjejas.