PEMAIN pertahanan kebangsaan, Azam Azmi Murad menggunakan kelebihan latihan di kem skuad senior kebangsaan sebagai medan untuknya menjadi pemain yang lebih baik yang baginya adalah biasa bagi pemain bola sepak profesional.
Azam sebelum ini sering menjadi pemain utama dalam skuad B-23 tahun kebangsaan dan kini dipanggil untuk memperkasakan skuad senior bagi menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka yang akan bermula pada 13 Oktober.
“Ada perbezaan di kem ini berbanding di kem B-23 kerana dalam skuad senior banyak pemain berkualiti dan tahap juga berlainan tetapi saya tidak mempunyai masalah kerana intensiti yang sama diterapkan dalam kedua-dua kem.

“Ketika di skuad B-23 juga saya ada persaingan dan perlu bersaing tetapi disini saingan lebih hebat kerana lebih banyak pemain yang bagus dan saya kena sentiasa berjuang untuk dapatkan tempat.
“Bagi saya ini adalah proses untuk saya jadi pemain yang lebih baik. Saya perlu segera adaptasi dengan pemain senior dan perkara ini adalah biasa bagi pemain bola sepak,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Azam yang cemerlang membantu Terengganu FC di Piala AFC juga menganggap penyertaannya di kejohanan itu banyak memberikan pengajaran dan pengalaman untuk menyarung jersi kebangsaan dan beraksi di pentas yang lebih tinggi.

“Saya akui bermain di Piala AFC banyak membantu persembahan saya kerana apabila bertemu dengan pasukan yang mempunyai tahap yang lebih tinggi akan banyak bantu saya belajar dan saya akan cuba berikan yang terbaik untuk merebut tempat dan jika ada rezeki, saya akan disenaraikan dalam skuad ke Piala Asia,” jelasnya.
Pemain berusia 22 tahun itu juga sedar akan kekuatan pasukan India yang mempunyai penjaring ketiga terbanyak dunia, Sunil Chettry namun dia bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan serta yakin Harimau Malaya akan bermain dengan baik di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“India adalah pasukan yang baik dan kita tidak boleh pandang rendah kemampuan mereka dengan kehadiran Sunil Chettry yang berpengalaman dan kita perlu berwaspada dengan segala kemungkinan namun kita mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri kerana mempunyai penyokong yang ramai di belakang kami,” jelasnya.
Malaysia akan turun dalam misi perlu menang ke atas India untuk layak ke final Pestabola Merdeka bertemu Tajikistan yang mendapat ‘bye’ selepas Palestin terpaksa menarik diri ekoran pergolakan perang yang berlaku di negara itu.