PENGGANTUNGAN Datuk Noor Azman Hj. Rahman sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi berakhir selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan beliau kembali menjalankan tugas berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung pada Rabu, 7 Januari 2026, sekali gus menamatkan tempoh penggantungan yang dikenakan terhadap Datuk Noor Azman sejak 17 Oktober 2025.
Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 telah meneliti laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dan memutuskan untuk meneruskan penggantungan beliau sementara kes berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan lanjut.
Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu kemudiannya bermesyuarat dan mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dijalani serta laporan IIC bertarikh 15 Disember 2025 sebelum membuat keputusan muktamad.
Hasil pertimbangan tersebut, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk mengembalikan Datuk Noor Azman ke jawatan Setiausaha Agung FAM dengan serta-merta.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan FAM, keputusan itu menunjukkan bahawa Datuk Noor Azman hanya terlibat dalam isu kecuaian pentadbiran dan tidak didapati bersalah atau terbabit dalam sebarang perbuatan pemalsuan dokumen.
Pelantikan semula Datuk Noor Azman dijangka membantu melancarkan semula urusan pentadbiran FAM, khususnya ketika badan induk bola sepak negara itu berdepan beberapa isu penting di peringkat domestik dan antarabangsa.