PERSATUAN Permotoran Malaysia (MAM) menerusi Pengerusinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir tidak menolak kemungkinan Malaysia akan kembali menganjurkan sukan Formula 1 jika ada badan-badan korporat yang mahu memberikan penajaan.
Ini kerana Formula 1 kini semakin popular dan berkembang dengan kelompok peminat baharu dan ianya bagaikan satu kerugian buat Malaysia kerana tidak lagi menganjurkan sukan permotoran terpantas dunia itu.
Mokhzani yang ditemui di Majlis Aidilfitri MAM turut mahukan bakat-bakat baharu sukan permotoran dilahirkan menerusi pelbagai program akar umbi yang telah dirancang pihaknya.
“Formula 1 agak mahal kerana nilai Ringgit yang kurang baik tetapi jika ada penaja, MAM menyokong penganjuran F1 di Malaysia. Kita dah kenal lama dengan F1 sejak 1996 tetapi kini jadual semakin padat tetapi mana tahu ianya boleh dianjurkan kalau kami mampu.
“Kita tidak ada masalah untuk jadi tuan rumah, masalahnya adalah kos. Sukan ini semakin popular dan semakin ramai pengikut disebabkan siri realiti Drive to Survive yang disiarkan di Netflix. Kini semakin banyak negara cuba untuk membida penganjuran kerana ianya popular dan ini adalah sesuatu yang perlu dilihat oleh negara.
“Jika dilihat bukan sahaja peminat yang mahukan perlumbaan di sini malah komen dari pemandu F1 sendiri mahukan Sepang kembali dalam kalendar dan ianya bergantung pada faktor penajaan kerana kedatangan pelancong asing membawa kesan ekonomi yang baik buat negara.
“Kami mempunyai program dari akar umbi untuk meningkatkan lagi sukan bermotor ini diperingkat awal untuk mencari bakat-bakat baharu dan memastikan mereka dapat berlumba di litar-litar seluruh negara dan bukannya di jalan raya. Ini adalah isu yang penting untuk MAM,” katanya ketika ditemui media.
Sebagai rekod, Grand Prix Formula 1 Malaysia Petronas telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang sejak 1999 dan berakhir pada 2017 atas alasan kos penganjuran yang semakin meningkat dan jumlah kehadiran penonton semakin berkurangan ketika itu.