PENGELUAR kenderaan Amerika Syarikat, Ford telah mengesahkan rancangan mereka untuk kembali semula ke Formula 1 apabila regulasi enjin baharu diperkenalkan pada 2026 yang bakal memperlihatkan satu lagi sejarah bakal terpahat dalam organisasi yang kaya dengan sejarah sukan permotoran.
Penglibatan Ford dalam F1 sebelum ini bermula pada tahun 1960 dengan kerjasama bersama firma kejuruteraan Inggeris, Cosworth yang menyaksikan mereka berjaya memenangi 155 dari 262 perlumbaan yang disertai antara tahun 1967 hingga 1985.
Dari kejuaraan pertama mereka dengan Graham Holl dan Lotus pada tahun 1968 hingga kepada Michael Schumacher dan Benetton pada tahun 1994, Ford telah terlibat dalam 10 kejuaraan pengeluar dan 13 kejuaraan pemandu menjadikan mereka pengeluar enjin ketiga paling berjaya dalam sejarah F1.
BREAKING: Ford returns to Formula 1!#F1 @FordPerformance pic.twitter.com/xqIS8Ii67S
— Formula 1 (@F1) February 3, 2023
Selepas 20 tahun sejak kali terakhir penglibatan mereka pada tahun 2024, perubahan regulasi enjin untuk musim 2026 dan seterusnya berjaya menarik minat Ford untuk kembali semula dalam sukan terpantas dunia ini.
“Kembalinya Ford dalam Formula 1 bermula 2026 adalah satu berita yang menarik untuk sukan ini dan kami teruja untuk melihat mereka menyertai jenama automotif lain di grid yang sedia ada dalam F1.
“Ford adalah jenama global dengan sejarah yang penting dalam sukan permotoran dan mereka melihat nilai yang besar yang platform kami mampu berikan kepada lebih setengah bilion penonton di seluruh dunia.
“Komitmen kami kepada ‘Net Zero Carbon menjelang 2030 dan pengenalan kepada bahan api yang lebih mampan untuk jentera F1 bermula 2026 adalah salah satu faktor utama Ford bersetuju untuk kembali menyertai F1.

Kali terakhir Ford muncul juara dunia bersama Michael Schumacher pada 1994
“Kami percaya sukan kami dapat memberikan peluang dan capaian yang tidak mampu ditandingi dan kami tidak sabar untuk melihat logo Ford untuk berlumba di litar-litar F1 bemula tahun 2026,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Ford Motor Company, Bill Ford pula berkata ini adalah permulaan baharu buat jenama ini yang dimulakan oleh moyangnya dahulu dan mahu membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini adalah permulaan mengujakan dalam sejarah baharu Ford dal sukan permotoran yang telah bermula apabila moyang saya, Henry Ford memenangi perlumbaan yang membantu untuk memulakan syarikat ini.
“Ford akan kembali ke tahap tertinggi sukan permotoran membawa bersama tradisi inovasi, daya tahan dan elektrikal kepada salah satu pentas yang paling penting di dunia,” katanya pada majlis di New York itu.
Pengumuman Ford dilakukan selepas pengeluar Jerman, Audi turut mengumumkan akan menyertai F1 pada 2026 sebagai pasukan utama selepas memiliki pegangan minoriti dalam Sauber minggu lalu.