MAX Verstappen berjaya mencatat kemenangan kelima berturut-turut apabila menjuarai Grand Prix Itali pada Ahad. Pelumba Belanda itu kini mendahului carta kedudukan pemandu dengan selesa dan secara matematiknya mampu muncul juara dunia seawal perlumbaan seterusnya iaitu Grand Prix Singapura.

Verstappen kini telah mengumpul 335 mata dengan pencabar terdekat, Charles Leclerc dengan 219 mata manakala Sergio Perez ketiga dengan 210 mata dan George Russell yang mengumpul 203 mata di tangga keempat.

Dengan hanya berbaki enam perlumbaan, jarak 119 mata yang dimiliki Verstappen dilihat sudah cukup untuknya bergelar juara dunia buat kali kedua berturut-turut di Singapura pada 2 Oktober 2022.

 

Berikut adalah tiga senario berbeza buat pemandu Red Bull Racing itu untuk mengesahkan kejuaraannya pada Grand Prix Singapura di Litar Jalanan Marina Bay.

Pertama, Verstappen harus memenangi perlumbaan untuk mempunyai peluang bergelar juara dunia di Singapura. Jika dia tamat di kedudukan kedua atau lebih rendah, perebutan kejuaraan akan dibawa ke Grand Prix Jepun.

Kedua, dengan kemenangan dan pusingan terpantas yang memberi satu mata tambahan, Verstappen akan menjadi juara dunia jika Leclerc tamat di tangga kesembilan atau lebih rendah manakala Perez keempat atau lebih rendah dan Russell kedua atau lebih rendah.

Perez dan Russell masih mampu memenangi kejuaraan dunia pemandu secara matematik walaupun ianya kelihatan kurang realistik berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh Verstappen ketika ini.

Senario ketiga pula adalah jika Verstappen memenangi perlumbaan tanpa pusingan terpantas, Leclerc perlu tamat pada kedudukan kesembilan juga tanpa masa terpantas dan Perez serta Russell tamat pada posisi yang sama dengan senario kedua.

 

Kejuaraan dunia akan menjadi milik Verstappen sekiranya Leclerc menamatkan perlumbaan ditangga kesepuluh atau gagal mendapatkan sebarang mata.

Meskipun Verstappen dilihat selesa namun dalam Formula 1 pelbagai perkara yang tidak dijangka boleh berlaku seperti kesilapan strategi atau kesilapan pemandu dan mungkin terlibat dalam insiden bersama-sama pelumba lain.

Namun begitu satu perkara yang pasti adalah Verstappen hanya perlu bersabar dan menunggu masa untuk membawa pulang gelaran juara dunia keduanya pada usia 24 tahun.