Select Page

F1: Mick Schumacher kongsi gambar bapanya bersama Vettel

F1: Mick Schumacher kongsi gambar bapanya bersama Vettel

DUA pelumba legenda Jerman, Michael Schumacher dan Sebastian Vettel berkongsi 11 dari 12 kejuaraan dunia yang dimenangi pelumba Jerman dan dianggap antara pelumba terbaik sepanjang zaman oleh peminat Formula 1.

Anak kepada Michael yang juga bekas pelumba pasukan Haas, Mick Schumacher telah memuat naik dua gambar yang menunjukkan bapanya dan Sebastian Vettel sehingga menyentuh hati peminat Formula 1.

Keluarga Schumacher terus memberikan sokongan hayat kepada juara tujuh kali itu secara peribadi di rumah mereka di Switzerland selepas dia mengalami kemalangan ketika bermain ski pada 2013 yang mengakibatkan kecederaan teruk pada kepalanya.

 

Namun legasinya dalam sukan ini kekal kukuh dengan menjadi pelumba Jerman pertama muncul juara dunia pada 1994 sebelum Vettel menyertai rekod ini dengan memenangi empat kejuaraan dari 2010 hingga 2013 dan Nico Rosberg kemudiannya muncul juara pada 2016.

Schumacher Jr telah berkongsi dua gambar Sebastian Vettel dari generasi berbeza di laman Instagram peribadinya. Gambar pertama adalah ketika Vettel masih bergelar pelumba junior dengan Michael Schumacher yang dianggap sebagai idolanya tersenyum merangkul bahunya.

Gambar kedua pula menunjukkan gambar Mick sendiri dengan Vettel yang juga idola Mick dengan kapsyen yang bertulis “persahabatan dari satu generasi ke satu generasi” yang cukup untuk memainkan emosi para peminat sukan terpantas dunia itu.

Mick kini adalah pelumba ujian dan simpanan untuk pasukan Mercedes AMG Petronas, pasukan yang disertai bapanya ketika awal penubuhan pasukan itu pada 2010 hingga 2012.

Video Terkini

Loading...