
Sukan SEA 2023: Choong Hann tak bimbang prestasi Siti Nurshuhaini

KONDISI perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman tidak menjadi kebimbangan kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Wong Choong Hann kerana persiapan yang dilakukan dan kejohanan diatur menjelang temasya Sukan SEA Kemboja, sudah tersedia.
Ketika ditanya mengenai keputusan beliau menamakan Siti Nurshuhaini ke Sukan SEA Mei depan, biarpun pemain perseorangan wanita yang berada di ranking ke-192 dunia itu masih dalam proses pemulihan dari kecederaan tumit dan hamstring, jurulatih itu berkata, hal itu tidak menjadi kebimbangan.
“Kondisi dia tidak membimbangkan sangat kerana meskipun sudah lama tidak sertai kejohanan, dia masih bermain dan menjalani latihan.
“Malah kita juga sudah merangka untuk dia menyertai beberapa kejohanan sebelum ke Sukan SEA,” kata Choong Hann.
Siti Nurshuhaini mengalami dua kecederaan, tumit dan hamstring yang dialami pada Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, Oktober tahun lalu, sudah lama tidak menyertai kejohanan dan penampilan terakhirnya pada Cabaran Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Ipoh, Perak, Disember lalu.
“Dalam latihan, kita sudah berikan didikan dan mengajar mereka bagaimana menyediakan diri untuk menghadapi saingan ketika berada dalam pelbagai situasi.”
Selain Siti Nurshuhaini,19, Choong Hann turut menamakan Wong Ling Ching, 20, dan Tan Zhing Yi (20) untuk beraksi di temasya itu.
Sebelum ke Phnom Penh, Kemboja, Siti Nurshuhaini akan menyertai Kejohanan Bawah 21 tahun yang akan berlangsung di Perak pada 15 Mac ini, malah pemain terbabit juga masih berpeluang beraksi di saingan antarabangsa jika berjaya layak ke Cabaran Antarabangsa Vietnam.
Pada saingan Cabaran Antarabangsa Uganda Februari lalu, Siti Nurshuhaini gagal memasuki undian utama selepas tewas di pusingan akhir kelayakan, selepas terpaksa mengharungi empat perlawanan dalam masa sehari.