BOS Red Bull Racing, Christian Horner menolak kemungkinan untuk melakukan langkah berani menandatangani Lewis Hamilton dengan menyatakan mereka tidak nampak sebarang ruang untuk menempatkan juara dunia tujuh kali itu dalam pasukan.

Hamilton yang kini dalam tahun terakhirnya kontraknya bersama Mercedes dan spekulasi tentang masa depannya semakin kencang ketika dia sedang bergelut dengan prestasi semasa meskipun kedua-dua pihak mengatakan kontrak baharu hanyalah sekadar formaliti.

Red Bull bagaimanapun sudah mengikat juara bertahan, Max Verstappen hingga 2028 manakala rakan sepasukannya yang muncul juara Grand Prix Arab Saudi, Sergio Perez dijangka kekal bersama pasukan sehingga penghujung musim 2024.

Prinsipal Pasukan Red Bull Racing, Christian Horner.

Horner juga menjawab dengan jelas ketika ditanya tentang bos Mercedes, Toto Wolff yang mungkin terpaksa melepaskan Hamilton ke pasukan lain sekiranya mereka gagal memberikannya jentera yang kompetitif dalam beberapa musim akan datang.

“Lihat, apa yang dicapai oleh Hamilton dalam Formula 1 adalah luar biasa tetapi kami gembira dengan pasangan pemandu yang kami ada. Mereka bukan sahaja komited untuk musim ini tetapi juga hingga musim depan.

“Saya tidak dapat lihat dimana kami mampu tempatkan Lewis tetapi saya pasti Mercedes akan menyelesaikan masalah mereka dan kami masih mengekalkan mereka sebagai pencabar utama,” katanya.

Max Verstappen dan Sergio Perez

Verstappen dan Perez masing-masing mempunyai satu kemenangan dari dua perlumbaan musim ini yang menjadi petanda awal dominasi Red Bull musim ini dan Horner segera menidakkan perkara itu dengan berkata pesaing lain akan kembali memberikan saingan sepanjang musim ini.

Horner juga menegaskan pertarungan dalam pasukan antara Verstappen dan Perez juga adalah sesuatu yang menarik untuk disaksikan dan dia mahu meneruskan momentum kemenangan pada awal musim ini.

“Saya rasakan ada beberapa perlumbaan yang fantastik. Kita mendapat satu lagi perlumbaan yang hebat antara kedua-dua pelumba kami di Arab Saudi. Apabila anda mempunyai dua jentera yang dominan dan kedua-duanya berlumba sesama sendiri, ianya masih mencipta perlumbaan yang hebat.

“Tetapi saya yakin bahawa pesaing akan kembali memberikan saingan terutama apabila kita kembali berlumba di Eropah di mana banyak pembaharuan kepada kereta dan enjin akan bermula.

“Kami mendengar tentang penambahbaikan besar di Mercedes dan saya pasti Ferrari tidak gembira dengan posisi mereka ketika ini dan kami menjangkakan segalanya akan berubah dengan pantas apabila kami kembali ke Eropah,” tambahnya.

Red Bull Racing kini menumpukan perhatian kepada Grand Prix Australia di Litar Albert Park, Melbourne yang akan bermula dengan sesi latihan bebas pertama pada Jumaat dengan cubaan mereka untuk melengkapkan hatrik kemenangan dalam tiga perlumbaan pertama musim ini.