PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan pelan strategik fasa kedua Peta Hala Tuju (Roadmap) F:30 untuk memartabatkan taraf bola sepak negara yang lebih dinamik.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata F:30 adalah pelan strategik 12 tahun sebagai pelan tindakan untuk membawa bola sepak Malaysia keluar dari kemelut selepas kejayaan siri fasa satu yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018 di Kuala Lumpur.
Jelas Hamidin, ia dirangka dengan mengambil kira realiti persekitaran dan menjadi hasratnya untuk meletakkan asas bagi pasukan kebangsaan yang kompetitif menjelang tahun 2030.
“Fasa 2 adalah susulan daripada Fasa 1 yang disasarkan bagi menuju tepat ke destinasi yang diingini.
“Itulah sebabnya fasa 2 pelan hala tuju kami direka untuk memberi tumpuan terhadap Penumbuhan Permainan, Pengembangan Jenama dan Memperkasa Organisasi.
“Walaupun keputusan fasa 1 memberangsangkan, kami tahu adalah mustahil untuk memastikan orang ramai berpuas hati berorientasikan kepada hasil,” katanya pada pelancaran strategik kedua bagi tahun 2023-2036 di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria; Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John; Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth serta Setiausaha Agung AFF Winston Lee.
Pengenalan itu hadir tepat pada masanya susulan pencapaian penting pasukan bola sepak kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia di Doha Januari tahun depan.
Jelas Hamidin, FAM tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kepimpinannya berusaha untuk memperbaiki struktur asasnya.
“Sekretariat Agung FAM, dibimbing oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM, bekerja tanpa jemu untuk mendokumentasikan semua cadangan dan langkah pembaikan yang bertujuan untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Hamidin turut memuji kewibawaan Hannah Yeoh yang komited serta bersemangat untuk bekerjasama demi setiap pemegang berkepentingan.
“Terima kasih YB Hannah Yeoh, kerana sudi bekerjasama dengan semua persatuan sukan kebangsaan dengan melayan kami setaraf, sebagai rakan kongsi, sebagai pemegang kepentingan utama di kementerian.
“Kami berbesar hati kerana Hannah telah menunjukkan minat yang mendalam untuk mengembangkan permainan di peringkat komuniti dan akar umbi, dari mana kami menanam benih masa depan,” kata Hamidin.
Selain berterima kasih kepada agensi-agensi kementerian seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (NSI), Hamidin berbesar hati kepada Kementerian Pelajaran dan agensi-agensinya, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi kerana tanpa mereka, ekosistem bola sepak akan terkesan.
“Bagi pihak sekretariat Agung FAM, saya juga ingin menggesa ahli gabungan kami untuk menumpukan pada membangunkan permainan melalui inisiatif anda sendiri.
“Kami akan menghulurkan tangan tunjuk ajar dengan harapan persatuan negeri akan bertindak balas secara positif dan terus bekerjasama rapat dan strategik dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri untuk mencipta persekitaran pemboleh yang diingini,” katanya.