Keupayaan ShekhinahPR mengembangkan perniagaan dalam bidang perhubungan awam sukan dan komunikasi strategik menerima pengiktirafan antarabangsa apabila agensi tempatan itu dianugerahkan International Business Excellence Award pada 2026 International CEO and Business Leaders Forum, hari ini.
Anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan ShekhinahPR dalam industri perhubungan awam, komunikasi strategik dan media, sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan agensi yang ditubuhkan sejak 2011 itu.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh bekas Ketua Hakim Negara merangkap Penaung Pengasas World Business Chamber (WBC), Tun Zaki Tun Azmi, dalam majlis yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel.
Penganjuran anugerah itu dilaksanakan dengan kerjasama WBC, ASEAN Economic Club (AEC) dan KSI Strategic Institute for Asia Pacific, selain mengambil kira kepimpinan serta visi keusahawanan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj.
Sepanjang lebih sedekad beroperasi, ShekhinahPR telah mengendalikan pelbagai projek merangkumi perhubungan awam sukan, penjenamaan korporat, hubungan media serta komunikasi bersepadu.
Antara tugasan berprofil tinggi agensi itu termasuk Maybank Challenge Cup 2025 yang menemukan Manchester United dengan ASEAN All-Stars, penjenamaan semula KPRJ sempena ulang tahun ke-30 serta perlawanan Chelsea menentang Johor Darul Ta’zim FC pada Ogos lalu.
ShekhinahPR turut mengumpul beberapa pengiktirafan terdahulu menerusi Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2025, Marketing Excellence Awards Malaysia 2025 dan PR Awards Southeast Asia 2024.
Usaha memperluas jaringan antarabangsa turut diteruskan menerusi kerjasama strategik dengan Integrated Dreams, sebuah organisasi berpangkalan di Portugal yang dimeterai ketika World Football Summit Madrid 2026 pada September lalu.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak inklusif, kepimpinan dan pendidikan, termasuk usaha membuka lebih banyak peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk terlibat dalam ekosistem sukan.
Mengulas kejayaan terbaharu itu, Christopher menyifatkan pengiktirafan berkenaan bukan sekadar pencapaian peribadi, malah turut menjadi kebanggaan seluruh warga kerja, klien, rakan strategik dan pengamal media yang menyokong perjalanan ShekhinahPR.
“Kami percaya komunikasi yang berkesan, hubungan kerjasama yang kukuh dan komitmen dalam setiap tugasan adalah asas kepada perkembangan sesebuah organisasi.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan semua pihak yang terus menjadi sebahagian daripada perjalanan ShekhinahPR,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen agensi itu untuk terus meningkatkan keupayaan serta memperluas kerjasama di peringkat serantau, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri perhubungan awam dan komunikasi strategik.