KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan kemenangan 4-2 ke atas Tampines Rovers dalam aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup sebagai hadiah buat penyokong setia yang terus berdiri di belakang pasukan meskipun berdepan prestasi tidak menentu sebelum ini.
Selepas tumbang dalam dua perlawanan terakhir, The Red Giants bangkit penuh bergaya di Stadium MBPJ dengan empat jaringan menerusi Faisal sendiri, Zach Clough, Alvin Fortes serta satu gol sendiri Shuya Yamashita, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah The Stags dalam semua kejohanan musim ini.
Tampines pula hanya mampu mencetak dua gol saguhati hasil sepakan penalti Koya Kazama dan jaringan Hide Higashikama.
“Pertama sekali, Alhamdulillah pasukan dapat tiga mata yang penting. Kita ada situasi turun naik dalam beberapa perlawanan. Tetapi saya sebagai kapten, saya perlu memberi semangat kepada pasukan saya.
“Saya memang bangga dengan rakan-rakan saya. Kita berjuang sehingga wisel yang terakhir. Dan ini hasilnya, kita dapat empat jaringan (tetapi) bukan mudah. Tahniah buat semua pemain dan ini hadiah buat penyokong Selangor,” kata Faisal sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan ini menyaksikan Selangor kini berkongsi tangga teratas Kumpulan A dengan BG Pathum United apabila kedua-duanya mengumpul empat mata, manakala Tampines jatuh ke tangga ketiga dengan tiga mata.
Selepas memastikan momentum positif di Shopee Cup, The Red Giants bakal mengalihkan tumpuan ke pentas tradisi apabila berdepan Piala Sultan Selangor 2025 pada 27 September.
Faisal yang turut menjadi tonggak utama musim lalu berharap mereka mampu mengulangi kejayaan bergelar juara edisi 2024 untuk mengubat lagi semangat penyokong.