ISU antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terus menjadi tumpuan apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa FAM berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), namun perlu bersedia dengan kemungkinan hukuman yang lebih berat sekiranya rayuan itu gagal.
Menurut Hannah ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, keputusan sama ada untuk merayu atau tidak sepenuhnya bergantung kepada FAM, manakala nasihat teknikal akan ditentukan oleh peguam badan itu.
“FAM boleh merayu, tetapi mereka perlu bersedia. Jika CAS tidak berpihak kepada mereka, hukuman boleh ditambah, bukan sekadar dikekalkan,” katanya.
Hannah turut menjawab kebimbangan mengenai potensi tiada bukti baharu yang boleh menyokong rayuan. Beliau menjelaskan bahawa kegagalan di CAS boleh membawa implikasi besar, termasuk kemungkinan penaltian kewangan lebih tinggi, tempoh penggantungan lebih panjang serta kesan kepada kedudukan Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
“Kalau tiada fakta baharu, peluang memang tipis. Dan kalau kalah, implikasinya lebih besar. Itu sesuatu yang FAM sendiri perlu timbang,” jelasnya.
AFC sebelum ini menetapkan tarikh akhir 31 Mac untuk keputusan rasmi berkaitan status tujuh pemain yang digantung.
Jika rayuan tidak memihak kepada Malaysia, keputusan perlawanan terdahulu juga berisiko dibatalkan, dengan tiga mata serta tiga jaringan automatik diberikan kepada pasukan lawan. Malah, AFC turut memiliki kuasa untuk menambah penalti lain mengikut peraturan pertandingan.
Dalam masa sama, Hannah menjelaskan bahawa peruntukan RM15 juta kepada FAM dalam belanjawan tahun ini tidak boleh digunakan untuk kos rayuan ke CAS kerana dana tersebut diperuntukkan khusus bagi pembangunan pasukan kebangsaan, termasuk latihan pemain dan pengambilan jurulatih. Segala kos guaman perlu ditanggung FAM sendiri.
Hannah bersetuju bahawa individu yang terlibat dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan kewarganegaraan tujuh pemain perlu dibawa ke muka pengadilan bagi menutup aib besar yang mencemarkan nama bola sepak negara. Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh mengarahkan mana-mana ahli jawatankuasa FAM untuk dipecat kerana tindakan itu boleh dianggap campur tangan kerajaan sesuatu yang dilarang sama sekali oleh FIFA.
Walaupun campur tangan langsung tidak dibenarkan, Hannah berkata kementeriannya masih mempunyai ruang untuk mengambil tindakan susulan melalui Pesuruhjaya Sukan, termasuk menjalankan audit serta siasatan, tetapi semua tindakan itu ditangguhkan sementara menunggu hasil laporan jawatankuasa bebas diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif.