“NANTIKAN pengumuman dalam masa terdekat.”
Demikian ulasan ringkas yang diberi oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman susulan bayangan tentang pengganti E. Elavarasan dalam posisi yang dilepaskannya tempoh hari.
Sehingga kini, ia menjadi bualan hangat dan tanda tanya buat peminat-peminat bola sepak tanah air yang masih menunggu pengendali baru skuad B-23 itu.
Elavarasan yang telah diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad muda kebangsaan pada 1 September 2022 bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Namun, hentaman oleh peminat yang diberikan kepada beliau kerana taktikal yang dianggap kurang memuaskan itu turut mendesak agar FAM menukar jurulatih terutama selepas kekalahan 1-0 kepada Thailand dalam aksi terakhir kelayakan di Chonburi.
Akhirnya, peletakan jawatan oleh Elavarasan sendiri pada 18 September lalu itu telah dipersetujui oleh pihak FAM sekaligus ada desas-desus yang mengatakan penolongnya, Juan Torres Garrido bakal menggantikan tempat beliau.
Walau bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan pendapat yang dikeluarkan oleh peminat serta pihak media sendiri telah mendapat komen yang mendatar daripada FAM selepas temu bual dengan Setiausaha Agungnya, pada petang Rabu.