PENUTUPAN Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kerja-kerja penyelenggaraan setelah mendapat kecaman hebat ketika aksi Kelayakan Akhir Piala Asia AFC Jun lalu menimbulkan tanda tanya dimanakah Harimau Malaya akan beraksi selepas ini.

Ini selepas FAM mengumumkan yang skuad kebangsaan akan mengadakan perlawanan persahabatan di laman sendiri pada November nanti sebagai persediaan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar ketika ditanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Ke-5 Penggal 2021-2025 berkata mereka akan melihat kepada situasi itu apabila menghampiri tarikh perlawanan itu nanti.

“Buat masa ini kita masih belum menentukan lagi venue mana yang akan digunakan oleh skuad kebangsaan dan perkara ini akan dibincangkan kerana kita perlu lihat terlebih dahulu stadium manakah yang bersedia untuk mengadakan perlawanan antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras disebut-sebut sebagai rumah sementara Harimau Malaya namun segalanya masih samar dan tidak boleh disahkan.

Penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil ini bukan sahaja memberi kesan kepada aksi skuad kebangsaan tetapi juga memberi impak kepada perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia yang dianjurkan Malaysia Football League (MFL).

Perlawanan akhir Piala FA telah dijadualkan pada 28 Ogos depan manakala perlawanan akhir Piala Malaysia akan ditentukan selepas berakhir saingan Liga Super pada 15 Oktober nanti.