PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Sumbangan berjumlah RM 34, 284 itu adalah hasil dari kutipan penjualan tiket pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman telah hadir di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur pagi tadi bagi menyampaikan cek sumbangan kepada dutanya, Walid Abu Ali.

Mohd Firdaus dalam pada itu berkata, FAM berharap dengan sumbangan berkenaan, ia dapat meringankan beban serta penderitaan rakyat Palestin.

“Ini adalah sebahagian dari usaha kami di FAM yang komited untuk melihat keadaan di Palestin menjadi lebih baik di masa hadapan.

“Saya berharap dengan sumbangan kecil ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan harapan kepada rakyat Palestin,” kata Mohd Firdaus.

Sementara itu, Walid Abu Ali menzahirkan ucapan terima kasih kepada FAM dan rakyat Malaysia yang teguh menyuarakan soladiriti kepada Palestin.

“Sokongan yang telah dizahirkan oleh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang amat mengharukan. Terima kasih atas keprihatinan anda dan teruskan berdoa untuk mereka di Palestin,” kata Walid.