PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei percaya seratus peratus terhadap perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatihnya, Nova Widianto dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk terus bergandingan dengan Chen Tang Jie.
Ee Wei yang sudah bergandingan bersama Tang Jie sejak November 2022 berkata, tidak ada perkara yang perlu dibimbangkan kerana dirinya sudah meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap jurulatihnya untuk menambah lagi sengat dalam setiap perlawanan.
Justeru, pemain berusia 23 tahun itu, menyuarakan keyakinan menerusi komitmen dalam latihan dan setiap kali menyertai kejohanan.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu kekal konsisten untuk memastikan mereka berada dalam kelompok teratas dunia.
Malah ketika ditanya sama ada Tang Jie, adalah pasangan paling sesuai buatnya, dia tidak teragak-agak mengiyakannya.
“Ya dia lelaki yang tepat kerana jika jurulatih saya kata ya, saya setuju juga. Sudah tentu saya percaya kata-kata mereka (jurulatih) kerana seorang itu merupakan juara Olimpik, seorang lagi juara Dunia untuk ketiga kalinya.
“Jadi saya rasa tiada apa yang perlu dirisaukan, saya cuma konsisten menjalani latihan dan kejohanan selain beri sehabis baik,” kata Ee Wei.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sensasi pada Terbuka Malaysia 2023 apabila berjaya melangkah ke suku akhir.
Gandingan itu akan membuka saingan Terbuka Malaysia 2025, menentang gandingan Perancis, Tom Gucquel-Delphine Delrue.
Untuk rekod, ini adalah penampilan kedua Ee Wei-Tang Jie di Terbuka Malaysia, dan gandingan itu perlu menampilkan aksi terbaik pada saingan bertaraf Super 1,000 itu selepas mara ke suku akhir, tahun lalu.