PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tampil dengan pendirian tegas selepas insiden membabitkan wartawan sukan, Haresh Deol, yang didakwa diserang dua lelaki di Bangsar pada 26 November lalu, sambil menegaskan bahawa keganasan terhadap pengamal media adalah satu tindakan yang sama sekali tidak boleh diterima dalam ekosistem bola sepak negara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, mengecam keras perbuatan tersebut dan menyifatkannya sebagai serangan bukan sahaja terhadap seorang wartawan, tetapi juga terhadap nilai profesionalisme dalam sukan.
“FAM mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu, termasuk para wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau menegaskan bahawa cubaan menghalang tugas profesional wartawan merupakan perbuatan yang bercanggah dengan semangat kesukanan serta prinsip integriti yang diperjuangkan badan induk itu.
Katanya, tindakan agresif seperti ini tidak seharusnya berlaku dan tidak mencerminkan budaya yang FAM mahu pelihara dalam persekitaran bola sepak Malaysia.
FAM turut menyeru pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pelaku dan memastikan keadilan ditegakkan secepat mungkin.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya.
Dalam masa sama, FAM memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan pengamal media demi mewujudkan ruang kerja yang selamat, profesional dan dihormati semua pihak.
Datuk Wira Mohd Yusoff turut menyampaikan doa dan sokongan kepada Haresh Deol agar kembali pulih dan diberi kekuatan selepas kejadian tidak diingini tersebut.