PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan mempergiat kerjasama bola sepak dan mengeratkan hubungan dua hala.

Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram menjelaskan kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam membina hubungan yang erat antara persatuan masing-masing demi manfaat bersama juga promosi, pembangunan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.

“Kerjasama ini bukan sahaja mampu mengukuhkan lagi struktur bola sepak kedua negara tetapi apa yang paling utama dapat memberi manfaat kepada pembangunan pengadil negara kita.

“Kami di FAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada VFF yang memberi sokongan dalam pembangunan pengadil dan belia Malaysia,” katanya.

Ianya turut disempurnakan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman dan Setiausaha Agung VFF, Duong Nghiep Khoi, di Hanoi, Vietnam pada Isnin.

MoU selama tiga tahun ini meliputi kerjasama dalam dua perkara iaitu, pembangunan pengadil dan pembangunan bola sepak belia.

FAM-VFF akan melakukan program pertukaran pengadil dalam perlawanan antarabangsa tempatan masing-masing malah turut sama-sama berkongsi pengalaman dalam bidang profesional melalui mesyuarat langsung atau tidak langsung dan kursus latihan.

Turut hadir dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi serta Exco FAM, ACP (Bersara) Md Dali Wahid serta Naib Presiden Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF), Tran Anh Tu dan Nguyen Xuan Vu serta Exco kecemasan VFF, Nguyen Qouc Hoi.