ATLET boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah mengakui cukup berbangga kerana dapat terus mempertahankan maruah sukan itu apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik 2024 pada Anugerah SAM-100PLUS, pada Isnin.
Farah Ain mengetepikan saingan hebat daripada Sin Li Jane, Tan Cheong Min, Soh Wai Chin serta beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi merangkul anugerah berprestij itu.
Atlet kelahiran Pahang berusia 24 tahun itu, sebelum ini menggemparkan dunia selepas menghadiahkan emas buat negara dalam acara individu wanita di Kejohanan Dunia di Channel Islands.

Kemenangan ini juga mengekalkan dominasi sukan boling padang selepas pasangan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi turut dinobatkan tahun lalu.
Ironinya, Farah Ain juga mencatat sejarah sebagai atlet boling padang wanita pertama menerima gelaran Olahragawati Kebangsaan pada ASN 2024, Mei lalu.
“Saya gembira kerana dapat sekali lagi membuktikan bahawa boling padang tidak seharusnya dipandang sebelah mata,” katanya selepas menerima trofi daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, jaguh para negara, Bonnie Bunyau Gustin pula muncul Atlet Para Terbaik selepas mempertahankan emas di Paris dan memecah rekod dunia dengan angkatan 232kg dalam kategori 72kg.