KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memperketat garis panduan penganjuran kejohanan sukan, membabitkan warga emas dengan mewajibkan deklarasi kesihatan sebagai syarat penyertaan.
Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan prosedur itu penting bagi memastikan tahap kesihatan peserta berada dalam keadaan selamat dan risiko kecemasan dapat dicegah lebih awal.
Beliau berkata keperluan itu akan turut disertakan dengan kewajipan penyediaan doktor pakar, pasukan perubatan, ambulans serta perlindungan insurans di lokasi kejohanan.

“Insurans adalah bentuk tanggungjawab, kita tidak boleh bertindak selepas sesuatu berlaku kerana ini soal nyawa,” katanya selepas Anugerah SAM-100Plus 2024, pada Isnin.
Langkah itu susulan insiden mengejut membabitkan kematian Allahyarham Firos Mohamed yang rebah ketika beraksi dalam kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Legend All Star baru-baru ini.
Walaupun Allahyarham dikenali aktif dan cergas, kejadian itu jelas membuktikan betapa pentingnya saringan kesihatan dalam penganjuran sukan veteran.
Hannah turut meminta semua pihak termasuk NGO, badan sukan negeri dan penganjur swasta agar meletakkan keselamatan sebagai keutamaan, bukan sekadar formaliti.