ATLET boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali pertama pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024, malam tadi.

Kemenangan itu menjadi pengiktirafan tertinggi buat Farah Ain selepas mempamerkan prestasi luar biasa dengan merangkul pingat emas acara individu wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

Turut mencuri tumpuan ialah pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat kali kedua selepas kejayaan meraih gangsa di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Mereka mengetepikan saingan sengit daripada empat calon lain termasuk jaguh badminton perseorangan, Lee Zii Jia, atlet wushu Wong Weng Soon, atlet angkat berat Mohd Aniq Kasdan dan jaguh silat Abdul Latif Maxzakir.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai RM20,000, manakala gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dimenangi Bonnie Bunyau Gustin yang mempertahankan emas serta memecah rekod dunia di Sukan Paralimpik Paris dalam kategori 72kg.

Hasmunirah Maliki pula diumumkan sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan menerusi kejayaan muncul juara perseorangan wanita boling padang di pentas dunia. Pasukan sepak takraw dan skuad tenpin boling wanita kebangsaan pula masing-masing dinobatkan Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik.

 

pix:MSN