SAMBUTAN ulang tahun ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC) bakal mencapai kemuncaknya menerusi penganjuran dua kejohanan berprestij iaitu Royal Pahang Classic Centenary Cup dan Tengku Ampuan Patron’s Cup pada September depan.

YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bertitah kejohanan berkenaan akan menghimpunkan pasukan-pasukan polo tempatan dan antarabangsa sekali gus memeriahkan sambutan bersejarah kelab yang telah mencapai usia satu abad.

Menurut baginda, seramai lapan pasukan dijangka mengambil bahagian dalam Royal Pahang Classic Centenary Cup, manakala antara lapan hingga 10 pasukan akan bersaing dalam Tengku Ampuan Patron’s Cup.

Perlawanan peringkat awal dijadual bermula pada 7 September di Pekan sebelum kemuncak kejohanan berlangsung pada 25 dan 26 September.

Selain acara sukan, RPPC turut merancang pameran khas sempena ulang tahun ke-100 penubuhannya yang akan memaparkan sejarah serta warisan kelab menerusi koleksi fotografi arkib dan artifak bersejarah berkaitan perkembangan sukan polo di Pahang sepanjang satu abad.

Majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-100 RPPC berlangsung di East Coast Mall, Kuantan dan turut dihadiri YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah serta YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan Mohamed Moiz.

Sumber Gambar: Kesultanan Pahang