KEPUTUSAN Leong Jun Hao menarik diri daripada Terbuka Thailand disifatkan langkah tepat dalam usaha memastikan kecederaan pada siku kanan yang dialaminya tidak menjadi lebih serius.
Pemain perseorangan lelaki negara itu mula berasa tidak selesa selepas pulang dari saingan Piala Sudirman di Xiamen, China baru-baru ini walaupun berjaya mencatat dua kemenangan daripada tiga perlawanan termasuk menumbangkan pemain ranking kelapan dunia, Kodai Naraoka.
“Ketika kejohanan, saya terlalu fokus nak menang sampai tak rasa sakit pun. Tapi bila dah balik, baru rasa ada masalah pada bahagian siku,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Jun Hao, 25, yang kini menghuni ranking ke-24 dunia, enggan mengambil risiko menyertai Terbuka Thailand yang bermula hari ini dan mahu memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan menjelang Terbuka Malaysia minggu depan.
“Ini bukan masa nak paksa diri. Keutamaan sekarang ialah untuk pulih sepenuhnya. Setakat ini saya tak rasa sakit lagi dan itu satu perkembangan positif,” katanya.
Kecederaan ini hadir ketika Jun Hao mula menunjukkan peningkatan selepas rentetan kekalahan awal dalam tujuh kejohanan pertama musim ini.
“Setiap pemain pasti lalui fasa kecederaan. Apa yang penting ialah cara kita menguruskannya. Fokus saya sekarang hanya satu – pulih dan kembali bersedia di Malaysia Masters,” katanya.
Terbuka Malaysia kategori Super 500 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 20 hingga 25 Mei ini.