PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengesahkan akan membida hak penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mendapat restu daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, fokus utama Malaysia sebagai tuan rumah kelak adalah untuk memberi keutamaan kepada dua acara yang kini dilihat berpotensi besar, Double dan Kuadran selain inter regu dan regu berpasukan yang menjadi tradisi.
Beliau menyifatkan kejayaan skuad negara mara ke final kedua-dua acara dalam Piala Asia baru-baru ini sebagai pencapaian membanggakan walaupun gagal muncul juara dalam aksi Double.

“Kita syukur kerana berjaya ke final Double walaupun laluan sukar kerana kehadiran pasukan kuat seperti Thailand, Indonesia dan India, manakala Kuadran pula lebih mudah seperti dijangka,” katanya.
Sumali menegaskan kini masanya untuk ‘menutup buku’ Double dan Kuadran dan memberi fokus sepenuhnya kepada acara Regu dan Berpasukan yang lebih dinanti-nantikan peminat tempatan.
“Kita jadi tuan rumah, kita kena ambil peluang maksimum di depan penyokong sendiri dan pastikan momentum diteruskan, terutama dalam acara berpasukan yang kali terakhir kita juara 34 tahun lalu,” ujarnya, sambil kengesahkan, India dan Korea Selatan turut berminat menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap pasukan sedia ada yang semakin serasi, selain berjanji akan melakukan post-mortem mendalam terhadap prestasi Double dan Kuadran bagi memperkemaskan strategi masa depan.
“Insya-Allah, dengan pemain yang berpengalaman dan pendekatan yang lebih tepat oleh jurulatih, kita akan buktikan Malaysia mampu menjadi kuasa besar sepak takraw dunia,” katanya.
TAMAT