MALAYSIA terus menunjukkan kekuatan dalam acara beregu campuran apabila dua wakil negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminron Terbuka India.

Dalam aksi suku akhir hari ini, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, mudah mengatasi pilihan kelima dari Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-11, 21-15.

“Banyak yang kami pelajari pada perlawanan ini, bagaimana nak konsisten dan mengejar ketika pihak lawan mendahului,” kata Shevon kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), berpuas hati dengan kemajuan dicapainya bersama suami, dalam gelanggang.

Di separuh akhir esok (Sabtu), gandingan profesional negara itu akan berdepan sama ada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito atau wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Dalam pada itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke separuh akhir ketiga berturut-turut, selepas Jelajah Dunia Akhir Disember dan Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Meskipun Ee Wei agak terganggu di awal set kedua, gandingan yang diletakkan selaku pilihan ketiga itu, berjaya mengatasinya dan memenangi perlawanan ke atas Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand, 21-17, 21-16.

Esok mereka akan berdepan Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin.

Turut ke separuh akhir, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Gandingan itu menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-18, 21-19.