TIADA kejutan berlaku apabila juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), selangkah ke final Piala Malaysia selepas ‘bersahaja’ membelasah Terengganu FC (TFC) 4-0 dalam separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Kemenangan ini memberikan skuad bimbingan Hector Bidoglio bekalan selesa untuk aksi separuh akhir kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Februari depan.
Beraksi di hadapan lebih 11,000 penyokong tuan rumah, JDT tidak gentar dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-17 menerusi penyudah klinikal Romel Morales.
22 minit kemudian, Morales sekali lagi hampir menambah gol buat JDT, tetapi jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati terdapat kekasaran awal oleh Iker Undabarrena terhadap Manuel Ott pada minit ke-39.

Morales pamer bisa ledak gol pembukaan Harimau Selatan.
Memasuki babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya. Walaupun JDT mendominasi permainan, TFC memberikan saingan sengit dan bersemangat tinggi di hadapan penyokong setia mereka.
Peluang terbaik TFC hadir apabila penyerang mereka, Nurillo Tukhtasinov, mencuba melepasi benteng JDT, namun percubaan tersebut berjaya dinafikan penjaga gawang JDT, Syihan Hazmi.
Pada minit ke-78, Arif Aiman Hanapi menebus kekecewaannya selepas gagal memperoleh penalti sebelumnya. Dia bijak membawa bola ke dalam kotak penalti dan menghasilkan jaringan kedua untuk JDT.

Tugas getir menanti TFC menjelang aksi timbal balas di Iskandar Puteri, 1 Februari depan.
Kemudian, pada minit ke-85, Arif Aiman sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan peluang untuk menggegarkan jaring tuan rumah manakala Bergson Da Silva turut mencatatkan nama sebagai penjaring pada masa kecederaan, melengkapkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan.
Dengan keputusan ini, JDT memiliki kelebihan besar menjelang aksi timbal balik di Iskandar Puteri. Terengganu pula perlu memberikan aksi luar biasa jika berhasrat mengejutkan juara bertahan di gelanggang lawan.
Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir akan mempertemukan Sabah FC dan Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam esok.