PELUMBA trek kebangsaan, Fadhil Zonis, membuktikan dirinya masih berbisa apabila akhirnya memenangi acara keirin dalam Siri Kedua Piala Presiden, pada Ahad.
Pencapaian itu, membolehkannya menamatkan penantian selama empat tahun untuk kemenangan acara keirin sekali gus semakin hampir untuk berada di tahap kecergasan terbaik.
Pecutan sempurna Fadhil di final keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai itu, membolehkannya mengungguli perlumbaan dengan mengatasi Kang Seojun dari Korea Selatan dan Sam Gallagher dari Australia yang memenangi tempat ketiga.
Fadhil menyifatkan kemenangan itu sebagai “sangat memuaskan” selepas hanya meraih perak keirin di belakang Seojun dalam Siri Pertama pada Rabu lalu (15 Januari).
Lebih bermakna, kejuaraan itu yang pertama buatnya dalam acara keirin antarabangsa sejak menjuarai Piala Negara-Negara UCI 2021 (Hong Kong) dalam dengan serangan jarak jauh yang berani, dikenali sebagai gerakan senko.

Fadhil membuktikan dirinya masih berbisa.
“Saya sudah lama tidak memenangi perlumbaan keirin, jadi berada di atas podium adalah sangat memuaskan,” kata Fadhil.
Siri Piala Presiden membabitkan Siri Pertama (14-15 Januari), Siri Kedua (18-19 Januari), dan Siri Ketiga (22-23 Januari) menguji ketahanan pelumba serta mencabar tahap kecergasan berikutan perlumbaan yang hampir.
“Sebenarnya saya agak letih selepas tiga hari perlumbaan di sini. Saya tahu jika saya memulakan pecutan terlalu awal, ia mungkin akan memakan diri dan hanya memberi peluang kepada pelumba lain.
“Saya perlu berlumba dengan bijak dalam final dan menunggu masa yang tepat untuk membuat gerakan. Syukur, semuanya berjalan lancar.
“Saya sangat gembira kerana dapat terus meningkatkan prestasi sedikit demi sedikit. Saya tidak sabar untuk menyertai Siri Ketiga Piala Presiden,” ujarnya.

Selepas Siri Pertama dan Kedua Piala Presiden, Nurul Izzah sudah meraih 3 pingat emas dan 1 perak.
Semalam, Fadhil memenangi perak dalam acara pecut individu lelaki di belakang rakan sepasukan kebangsaan, Ridwan Sahrom.
Namun, Ridwan gagal ke final keirin hari ini dan memenangi perlumbaan penentuan tempat ke-7 hingga ke-12.
Dalam pada itu, rekod kemenangan 100 peratus Nurul Izzah Izzati Asri dalam Siri Piala Presiden tahun ini, sedikit tercalar apabila dia hanya meraih perak dalam acara keirin wanita hari ini.
Pelumba Korea Selatan, Kim Haeun, yang sebelum ini tewas kepada Nurul Izzah dalam acara pecut individu semalam, memenangi emas keirin, manakala pelumba muda yang menjanjikan, Nurul Alyssa Farid, meraih gangsa.

Nurul Alyssa menghadirkan sinar buat masa depan berbasikal trek Malaysia apabila konsisten meraih pingat pada kejohanan bertaraf senior.
Ketua jurulatih pasukan berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi Nurul Izzah.
“Izzah memilih laluan dalam pada final, tetapi malangnya dia dihalang beberapa kali dan tidak dapat berada di posisi terbaik untuk pecutan terakhir,” kata Harnizam.
Untuk rekod, sepanjang dua Siri Piala Presiden berlangsung, Nurul Izzah sudah memenangi tiga emas dan satu perak.
“Alyssa juga menunjukkan prestasi yang sangat baik di sini dan memiliki masa depan yang cerah,” katanya.