PASUKAN FC Kuala Lumpur (FCKL) Bawah 14 Tahun (B-14) merangkul kejuaraan Piala Iber Barcelona 2024 buat julung kalinya selepas menumpaskan St Johns Wood United 2-1 pada aksi final di Stadium Estadio Les Pistes, pada Jumaat.

Menurut laman sesawang barcelona.ibercup.com, gawang anak buah Emma Hankins bagaimanapun dibolosi seawal minit kelapan menerusi Xavi Esson sebelum Seb Joergensen menyamakan kedudukan tiga minit kemudian dengan bantuan Lazeel Masanawo de Alwis.

Kedua-dua pasukan enggan menyerah sejurus terus melancarkan serangan bertali arus sebelum penyerang FCKL, Kalen Hanif Roznain-Brown menambah duka pasukan lawan minit ke-23 yang sekali gus menjadi mata kemenangan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Emma yang sudah melatih pasukan sejak tiga tahun lalu memuji semangat juang ditunjukkan pemainnya kerana tidak sesekali menyerah untuk membawa pulang kejayaan kepada tanah air tercinta.

“Tidak, ia bukan permainan yang mudah. Mereka memberikan tentangan hebat. Mereka (St Johns Wood United) sebenarnya menjaringkan gol pertama (kerana) mereka terpengaruh dengan suasana (selepas) bermain di atas rumput buat kali pertama, yang mana mereka perlu menyesuaikan diri, dan kami kekurangan sesuatu.

“Tetapi pada waktu rehat, kami bercakap sekali lagi dan kami hanya mengingatkan mereka tentang potensi mereka. Kami meminta mereka untuk fokus dan memenangi pertempuran individu mereka dan mereka berjaya.

“Kami telah mencapai tahap baru dalam kejohanan ini dan mencapai tahap baru tetapi kami tidak berpuas hati kerana kami sentiasa mahukan lebih banyak,” katanya Ketua jurulatih FCKL selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, pada aksi separuh akhir berlangsung semalam, FCKL mengalahkan Manchester City UAE 2-0 untuk melakukan perhitungan dua terbaik berkenaan dengan Ethan Samuel Thaddeus dan Putera Aman Azlan Shah, masing-masing meledak satu gol pada minit kesembilan dan ke-51.