Kredit Gambar: FA Laos
Persekutuan Bolasepak Laos (LFF) meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap beberapa kejadian luar biasa yang berlaku sepanjang empat perlawanan pasukan negara itu dalam saingan Piala ASEAN Hyundai 2026, termasuk kemungkinan wujud unsur mengatur perlawanan.
LFF dilaporkan menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Keselamatan Awam pada 7 Ogos bagi meminta siasatan terhadap dakwaan manipulasi keputusan serta tingkah laku mencurigakan pemain sepanjang kempen Kumpulan B, menurut laporan SNS Sports yang dipetik VN Express.
Laos menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan empat kekalahan besar, masing-masing tewas 0-5 kepada Thailand, 0-4 kepada Malaysia, 1-4 kepada Filipina dan 2-7 kepada Myanmar. Beberapa insiden dalam perlawanan berkenaan kemudian mencetuskan persoalan.
Antaranya, Viengxay Sydavong menjaringkan dua gol sendiri ketika Laos tewas kepada Malaysia dan Filipina. Dalam masa sama, Phetdavanh Somsanith menerima kad merah terus ketika menentang Thailand sebelum sekali lagi dibuang padang ketika aksi bertemu Filipina.
Masalah disiplin turut berterusan dalam perlawanan terakhir menentang Myanmar apabila Sayfon Keohanam menerima kad merah, menjadikan tiga pemain Laos dilayangkan kad merah dalam empat aksi peringkat kumpulan.
Aksi menentang Malaysia turut mencetuskan perbincangan di media sosial apabila penjaga gol Keo Souvannasangsgo didakwa melakukan tindakan luar biasa pada minit ke-84 ketika cuba menghalang sepakan percuma Wan Kuzain. Penjaga gol berusia 26 tahun itu dilihat seperti menarik tangannya sebelum terjatuh walaupun bola menuju ke kawasan yang masih boleh dicapai.
Bagaimanapun, LFF tidak menamakan mana-mana pemain secara terbuka dalam surat kepada pihak berkuasa sebagai individu yang terbabit dalam manipulasi perlawanan. Namun, laporan satu media tempatan mendakwa badan berkenaan secara khusus sudah menandakan empat pemain untuk diberi perhatian dalam siasatan.
Laos kendalian jurulatih Serbia, Vladica Grujic, gagal mengulangi persembahan lebih kompetitif yang ditampilkan pada edisi 2024 di bawah bimbingan Ha Hyeok-jun. Pada kejohanan tersebut, Laos turut tersingkir di peringkat kumpulan tetapi berjaya menjaringkan tujuh gol dan hanya melepaskan 11 gol, termasuk mencatat keputusan seri 3-3 dengan Indonesia dan 1-1 dengan Filipina.
Siasatan yang diminta LFF kini dijangka menentukan sama ada kejadian-kejadian berkenaan sekadar kesilapan dalam permainan atau mempunyai kaitan dengan unsur pengaturan perlawanan. Sebarang kesimpulan hanya boleh dibuat selepas pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.