ARGENTINA bangkit selepas kekalahan mengejut ke atas Saudi Arabia pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Piala Dunia FIFA Qatar 2022 sekaligus membuka kembali peluang layak ke peringkat 16 terbaik.
Lionel Messi sekali lagi muncul wira Argentina apabila jaringannya pada pertengahan babak kedua menaikkan semangat rakan sepasukan untuk menewaskan Mexico 2-0 dan mengutip tiga mata penuh.
Jaringan itu turut menyaksikan Messi menyamai rekod hebat milik Diego Maradona dengan gol kelapan menerusi 21 penampilan buat Argentina di kejohanan Piala Dunia.

Mexico yang sebelum ini mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Poland juga berusaha mencari kemenangan bagi memberikan mereka semakin mendekati pusingan kalah mati namun kecewa dengan kekalahan ini.
Enzo Fernandez menambah kelebihan buat Argentina tiga minit sebelum masa sebenar tamat yang jelas melegakan para penyokong yang membanjiri Stadium Ikonik Losail.
Dengan kemenangan ini, Argentina melonjak ke tangga kedua dengan tiga mata, satu mata dibelakang pendahulu, Poland yang terlebih dahulu menang ke atas Arab Saudi 2-0.

Messi dan Enzo Fernandez meraikan jaringan.
Perlawanan terakhir kumpulan antara Argentina dan Poland pada 1 Disember nanti dilihat bakal menjadi penentu pasukan mana yang berjaya layak ke peringkat 16 terbaik dengan keputusan perlawanan Arab Saudi dan Mexico juga bakal menjadi penentu buat kedua-dua pasukan.