PENJAGA Gol Selangor FC, Samuel Jacob Somerville memasang impian untuk beraksi dalam kesebelasan utama di pentas akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim Sabtu ini.

Pun begitu, dia turut menerima keputusan Cheng Hoe yang sering menyenaraikan Khairulazhan Khalid untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan sejak kebelakangan ini.

Jelasnya mesra dipanggil Sam, dia sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi dirinya sendiri tanpa memikirkan siapa bakal diturunkan walaupun terpaksa bersaing dengan Khairulazhan (Yan) untuk merebut slot utama di benteng terakhir Gergasi Merah.

“Sejujurnya saya mengimpikan untuk bermain di di perlawanan akhir Piala Malaysia. Tetapi jurulatih telah memilih Yan untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

ARTIKEL BERKAITAN: ” Kita bukanlah robot” – Sam Sommerville 

“Dia beraksi dengan baik dan saya sangat gembira untuknya. Ini adalah kelebihan buat pasukan Selangor kerana memiliki dua penjaga gol yang mampu beraksi dengan baik dan berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Tidak kira siapa yang bakal diturunkan jurulatih Tan Cheng Hoe, saya sentiasa berusaha untuk memperbaiki permainan saya dan menjadi versi terbaik yang saya mampu lakukan” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Berdepan Harimau Selatan, Sam mengakui tugas getir bakal menanti pemain Selangor FC namun berazam memberikan penampilan terbaik sebagai hadiah buat rakyat Selangor yang mendahagakan kejuaraan selepas kali terakhir berjaya merangkul Piala Malaysia pada 2015.

“Kita sebagai pemain menyedari tugas sukar yang bakal dihadapi pemain dan sedar kekuatan pasukan Johor Darul Ta’zim.

“Bagaimanapun, ia adalah satu cabaran kepada kami untuk memberi aksi terbaik. Kita semua sedar betapa pentingnya piala ini buat rakyat Selangor, “jelasnya.

Sementara itu, pemain kelahiran United Kingdom itu mengesahkan masih bersama pasukan Selangor FC pada musim hadapan kerana kontraknya bersama kelab itu masih berbaki satu tahun.

“Saya masih ada kontrak satu tahun bersama pasukan Selangor. Jadi, saya masih lagi bersama Selangor musim hadapan,”katanya.