BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan terus dibelenggu sejarah lalu di pentas Kejohanan Seluruh England apabila memilih untuk memberi tumpuan kepada setiap mata menjelang perlawanan akhir di Utilita Arena, Birmingham.
Wooi Yik berkata pendekatan itu menjadi kunci yang membawa mereka melangkah sehingga ke pentas final tanpa memikirkan terlalu jauh mengenai keputusan.
“Saya dan Aaron hanya mahu fokus mata demi mata kerana itulah yang membawa kami ke tahap ini sehingga hari ini,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas melepasi cabaran sepaeuh akhir, dengan menewaskan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yu, 21-11, 21-19 dalam masa 42 minit.
Menurutnya lagi, mereka tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kemenangan atau kekalahan kerana percaya keputusan akan hadir sekiranya prestasi di gelanggang berada pada tahap terbaik.
Pasangan nombor dua dunia itu pernah muncul naib juara Seluruh England pada edisi 2024, namun mereka lebih kerap tewas di pusingan awal pada beberapa edisi lalu.
Aaro-Wooi Yik kini menjadi wakil tunggal negara ke final selepas beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah lebih dahilu tersingkir menerusi kekalahan kepada beregi Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 17-21, 18-21.