MESKIPUN memiliki ranking dunia yang lebih tinggi, gandingan Arif Junaidi-Yap Roy King tetap bukan tandingan pasangan yang baru dicipta dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Pada aksi pusingan pertama beregu lelaki hari ini, Arif-Roy King yang menghuni ranking 23 dunia tidak dapat memberi saingan sengit kepada lawan yang masing-masing pemenang pingat perak Olimpik Paris (Won Ho) dan bekas juara dunia (Seung Jae).

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena itu, beregu negara itu gagal menampilkan prestasi terbaik pada penampilan sulung mereka di pentas Terbuka Malaysia apabila tewas kepada lawannya, 17-21, 11-21.

“Untuk kita, itu satu pengalaman yang bagus kerana dapat bermain dengan pasangan berkelas dunia. Cuma ianya satu kerugian kerana kami tidak dapat untuk sekurang-kurangnya mengheret mereka (Won Ho-Seung Jae) ke set penentuan.

“Kami berharap apabila kami berjumpa mereka selepas ini, kami dapat memberi tentangan yang sengit dan memenangi perlawanan tersebut. Sejujurnya mereka lebih konsisten daripada kita. Mereka mahir membalas bulu tangkis kami,” kata Arif.

Dalam pada itu, Roy King berkata, perlawanan terbabit menjadi satu penghargaan untuknya kerana Seung Jae adalah idola mereka.

“Saya rasa ianya merupakan satu-satunya penghormatan untuk saya bermain dengan pemain berkelas dunia seperti Seung Jae. Saya banyak belajar daripada mereka. Walaupun ianya sikit namun, kami belajar sedikit demi sedikit,” kata Roy King.

Roy King ketika ini berpeluang untuk memberi fokus sepenuhnya kepada acara beregu lelaki susulan pasangannya Valeree Siow mengalami kecederaan menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan untuk bermain beregu campuran.

Untuk rekod, Arif-Roy King menjadi wakil Malaysia pertama tersingkir pada hari kedua kejohanan Terbuka Malaysia 2025 serta turut menjadi mangsa kelapan yang ditunjukkan jalan keluar sejak hari pertama.

Sementara itu, perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei tewas kepada pemain muda India, Malvika Bansod 15-21, 16-21.