FINAL impian peminat bola sepak bakal menjadi kenyataan apabila Real Madrid dan Barcelona bertemu dalam perlawanan akhir Supercopa de España pada Ahad di Jeddah, Arab Saudi.

Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti, memberi amaran bahawa pertembungan ‘El Clasico’ kali ini dijangka penuh kejutan, selaras dengan corak perlawanan klasik antara dua gergasi bola sepak Sepanyol itu.

“Clasico kebelakangan ini memang sukar diramal.

“Ada perlawanan yang kami menang mudah, seperti 4-1 dalam Supercopa tahun lepas, dan ada ketika kami menang besar 4-0 di Barcelona.

“Namun, mereka juga pernah kalahkan kami 4-0 di Bernabeu. Sukar untuk menjangka bagaimana perlawanan akan berlangsung kali ini.

“Tetapi pastinya ia akan menghiburkan kerana kedua-dua pasukan memiliki kualiti yang luar biasa,” kata Ancelotti selepas pasukannya menewaskan Mallorca 3-0 di separuh akhir.

Real Madrid mara ke final selepas menampilkan prestasi dominan di separuh akhir. Dua gol pada separuh masa kedua oleh Jude Bellingham dan Rodrygo, selain satu gol sendiri Mallorca, memastikan kemenangan selesa buat Los Blancos.

Sebelum itu, Barcelona menyingkirkan Athletic Bilbao dengan kemenangan 2-0 untuk mengesahkan pertembungan klasik di final.

Walaupun berjaya mengawal perlawanan, Real Madrid mengambil masa untuk membuka jaringan. Bellingham akhirnya memecah kebuntuan selepas sejam permainan, menyempurnakan satu gerakan menarik hasil kerjasama dengan Rodrygo dan Kylian Mbappe.

Ancelotti mengakui mereka sepatutnya menjaringkan gol lebih awal.

“Kami memulakan permainan dengan baik, tetapi kami boleh saja menjaringkan gol di separuh masa pertama.

“Mallorca bertahan dengan baik, menutup ruang, dan cuba mencipta peluang melalui hantaran lintang. Mereka benar-benar memberikan cabaran kepada kami,” jelas Ancelotti.

Namun, kemenangan Real tidak datang tanpa risiko. Pemain tengah mereka, Aurelien Tchouameni, terpaksa dikeluarkan awal di separuh masa kedua selepas berlanggar kepala dengan pemain Mallorca.

Selain itu, Bellingham kelihatan tidak selesa di penghujung perlawanan manakala Federico Valverde digantikan oleh Dani Ceballos selepas keletihan akibat cuaca panas di Jeddah.

“Doktor mengarahkan Tchouameni dikeluarkan kerana ia melibatkan kecederaan di kepala.

“Bellingham dan Valverde pula mengalami sedikit keletihan. Kami tidak menjangka cuaca panas yang sedikit menjejaskan rentak permainan,” tambah Ancelotti.

Kini, perhatian tertumpu kepada perlawanan akhir yang bakal menyaksikan dua pasukan dengan sejarah panjang permusuhan di padang berentap sekali lagi untuk merebut kejuaraan.

Dengan kedua-dua pasukan menampilkan senarai pemain bertaraf dunia seperti Bellingham, Rodrygo, Mbappe, dan bintang Barcelona, peminat boleh menjangkakan aksi penuh debaran di Stadium King Abdullah Sports City nanti.