CRISTIANO Ronaldo memulakan tahun baharu 2025 dengan penuh bergaya selepas membantu Al-Nassr mencatat kemenangan 3-1 ke atas Al-Akhdoud dalam aksi pertama Saudi Pro League.
Dalam perlawanan tersebut, Ronaldo menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti, yang diperoleh hasil gerakan cemerlang Sadio Mane.
Mane turut mencuri tumpuan dengan menjaringkan dua gol, masing-masing di babak pertama dan kedua, sekali gus menjadi tonggak kemenangan buat skuad kendalian Stefano Pioli itu.
Walaupun Mane tampil cemerlang, Ronaldo tetap menjadi perhatian apabila beliau mengambil kesempatan di media sosial untuk meraikan kejayaan tersebut.
Bintang Portugal itu memuat naik beberapa gambar di Instagram dengan caption yang mencuri tumpuan.
“Cara terbaik untuk mulakan tahun,” kata Ronaldo sambil menunjukkan gaya ‘cheeky‘ dengan lidah yang dijelirkan dalam salah satu gambar di Instagram miliknya.
Kemenangan ini amat bermakna bagi Al-Nassr dalam usaha mereka mengejar pendahulu liga, Al-Ittihad, yang kini lapan mata di hadapan dan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan di tangan.
Untuk musim ini, Ronaldo terus menunjukkan aksi luar biasa dengan mencatatkan 11 gol dan dua bantuan gol dalam 13 penampilan liga.
Persembahan konsistennya memberi suntikan semangat kepada pasukan menjelang pertemuan seterusnya menentang Al-Taawoun pada 18 Januari.
Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan dirinya masih berada pada tahap terbaik dan terus menjadi inspirasi buat peminat bola sepak seluruh dunia.