ACARA akhir trek dan padang di Paris 2024 akan dilangsungkan pada waktu malam.

Badan induk olahraga dunia, World Athletics berkata, ketika membuat jadual pertandingan, mereka turut memutuskan olahraga bakal dilangsungkan selama 11 hari, bermula dengan acara 20 kilometer (km) jalan kaki pada 1 Ogos dan berakhir dengan marathon wanita pada 11 Ogos.

“Acara trek dan padang akan berlangsung dalam 17 sesi di Stade de France. Semua acara akhir trek dan padang pula akan dilangsungkan sebelah malam, manakala acara melibatkan jalan raya akan berlangsung pagi pada empat hari berlainan,” kata World Athletics.

Menurut badan induk olahraga dunia itu lagi, penjadualan panjang itu memberi ruang kepada atlet yang beraksi dan beberapa acara.

“Atlet boleh menggandakan acara dalam 100m dan 200m, 800m dan 1,500m, 1,500m dan 5,000m atau 5,000m dan 10,000m, tanpat perlu perlu beraksi dalam mana-mana disiplin itu pada hari yang sama.

“Peluang untuk beraksi dalam dua acara juga melibatkan lompat jauh dan lompat kijang, dan 20km serta 35km lumba jalan kaki.”

Tahun lalu, World Athletocs berkata, mereka akan memperkenalkan pusingan repechage bagi acara trek individu, bermula 200m hingga 1,500m di temasya Paris 2024.