SELEPAS sah mendapatkan khidmat bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, kelab Arab Saudi, Al-Nassr memberikan layanan istimewa buat Ronaldo dan keluarganya dengan memberikan tempat tinggal yang cukup mewah di Hotel Four Season, Riyadh.

Sementara mencari tempat tinggal yang tetap, Ronaldo menginap di Hotel Four Season yang terletak di Kingdom Tower, bangunan tertinggi di Arab Saudi dengan sewa bulanan mencecah £250,000 sebulan.

Ronaldo bersama pasangannya, Georgina Rodriguez akan tinggal di Kingdom Suite yang memiliki keluasan 365 meter persegi dengan pemandangan terbaik Kota Riyadh.

 

 

Selain itu pemenang Kejuaraan Eropah 2016 itu juga dikatakan telah menyewa dua tingkat hotel itu dengan 17 bilik untuk keluarganya, termasuk rakan-rakan dan pengawal peribadinya.

Fasiliti yang disediakan di penginapan itu meliputi pejabat peribadi, pantri, ruang makan, ruang keluarga, hingga ke ruang belajar eksekutif beserta pemandangan indah yang terbaik di Riyadh.

Mereka sekeluarga juga akan dijamu dengan masakan lima bintang beserta hidangan terbaik dari China, Jepun, India, Timur Tengah dan lain-lain dengan bahan-bahan segar disediakan dan dimasak terus oleh chef khas sehingga dia tidak perlu makan bersama tetamu hotel yang lain.

 

Untuk menjaga privasi dia sekeluarga, pihak Kingdom Tower juga telah mengarahkan semua kakitangan mereka supaya mengawal diri agar tidak mengambil gambar dengan Cristiano Ronaldo ketika dia tinggal di hotel tersebut.