PENYERANG import Kuala Lumpur City FC, Romel Morales gembira dengan kehadiran Jordan Mintah dalam pasukan kerana ia membenarkannya bergerak lebih bebas untuk mencipta peluang menjaringkan gol.

Romel juga menganggap perlawanan akhir Zon Asean Piala AFC esok adalah satu lagi perlawanan penting buatnya kerana ini adalah kali pertama dia bersaing dalam pertandingan antarabangsa.

Dia yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 itu juga mahu memastikan dia dan rakan sepasukan mampu untuk menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan menjadi milik Kuala Lumpur City.

“Saya gembira dengan kehadiran Jordan Mintah dan kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Kami juga perlu memperbaiki penyudah untuk membantu pasukan. Ianya bagus untuk mempunyai pemain seperti Jordan dalam pasukan kerana ia membantu saya bergerak bebas dan tidak hanya tertumpu pada satu bahagian sahaja.

“Ianya pasti satu pertembungan yang menarik dari kedua-dua pasukan kerana kami sudah mengkaji permainan mereka dan begitu juga mereka. Kami perlu mengambil peluang untuk mendapatkan keputusan yang baik esok.

Jordan Mintah kembali membarisi skuad KL City berdepan PSM Makassar, malam esok.

“Setiap permainan adalah penting buat saya terutama Piala AFC kerana ini adalah kejohanan antarabangsa pertama saya. Pastinya saya mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan tetapi jika gagal saya akan cuba membantu pasukan mencari gol kemenangan kerana itu adalah perkara terpenting.

“Kami tahu cara bermain dan mencipta banyak peluang tetapi kami perlu menjaringkan lebih banyak gol. Kami perlu bekerja lebih keras kerana barisan pertahanan sudah melakukan tugas dengan baik dan kini terserah pada barisan penyerang untuk menjaringkan gol,” kata Romel ketika sidang media pra perlawanan.

Pemain Colombia itu kini hanya berjaya menjaringkan empat gol sahaja musim ini dengan kecederaan pada awal musim dilihat sedikit menggangu fokus dan rentak permainannya.