KETUA jurulatih skuad bawah 23 negara, Nafuzi Zain menegaskan tiada istilah perlawanan mudah buat Harimau Muda apabila mereka membuka kempen Piala ASEAN Mandiri B-23 2025 menentang Filipina pada 15 Julai ini di Jakarta.
Walaupun Malaysia pernah menewaskan Filipina 4-0 pada September 2023, Nafuzi mengingatkan bahawa situasi kejohanan sebenar memerlukan pendekatan lebih berhati-hati dan fokus penuh sejak perlawanan pertama.
Baginya, meraih tiga mata sulung adalah langkah penting sebelum bercakap soal mara ke separuh akhir yang berkemungkinan menemukan mereka dengan pasukan kuat seperti Thailand atau Vietnam.
“Kita tak boleh ambil mudah. Perlawanan pertama sangat penting dan kita tak tahu tahap sebenar Filipina kali ini. Apa yang penting adalah pastikan kita menang perlawanan pertama,” katanya dalam sidang media pengumuman 30 nama pemain di Wisma FAM.
Mengulas mengenai tekanan dan jangkaan tinggi daripada penyokong selepas kejayaan skuad senior menewaskan Vietnam baru-baru ini, Nafuzi mengakui beliau sedia memikul cabaran tersebut.
“Memang saya sedar penyokong mahu lihat semua pasukan negara berjaya di pentas antarabangsa. Ini satu cabaran besar buat saya sebagai jurulatih kebangsaan, dan saya bersedia. Kami akan buat yang terbaik untuk tunaikan harapan mereka,” tegasnya.