SKUAD badminton kebangsaan mula menjalani jadual baharu latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), yang mungkin dapat memberi “mood” berbeza dan kelebihan ketika menyertai pertandingan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky berkata, jadual baharu itu baru diperkenal pada minggu ini.

“Minggu ini, kita berikan waktu latihan awal pagi kepada perseorangan kerana Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen memerlukan lebih banyak gelanggang untuk menjalani latihan serentak skuad senior dan junior.

“Jadi sebagai percubaan, kita skuad beregu beri laluan kepada perseorangan berlatih 7.30 pagi hongga 10 pagi, lepas itu kita sambung sampai 1 petang,” kata Rexy.

Menurutnya, waktu latihan itu akan melalui tempoh percubaan selama dua minggu sebelum dimuktamadkan untuk diteruskan atau kembali ke jadual asal.

Namun, beliau berkata, setakat ini pemain beregu terutamanya yang berada dalam program Road to Gold (RTG), memberi maklum balas positif: “Pemain RTG beritahu waktu ini bagus, seolah-olah waktu beraksi di kejohanan.”