PERLUMBAAN Grand Prix Singapura 2022 telah mencatatkan rekod kehadiran tertinggi dengan 302,000 penonton hadir sepanjang tiga hari acara itu berlangsung. Menurut promoter, perlumbaan  itu mengatasi rekod 300,000 penonton ketika perlumbaan sulung pada 2008.

Perlumbaan malam pertama itu sebelum ini menerima kehadiran 268,000 pengunjung ke Litar Jalanan Marina Bay pada 2019 sebelum perlumbaan tahun 2020 dan 2021 dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran gembira dengan rekod kehadiran ini yang menunjukkan pemulihan ekonomi dan Grand Prix Singapura kembali ke landasan yang tepat.

 

“Ianya adalah bukti bahawa penyokong menunjukkan minat kepada perlumbaan di sini dengan pelbagai eleman yang menjadikannya unik. Ia juga adalah tanda yang baik tentang pemulihan pasca pandemik di Singapura. Rekod kehadiran ini juga membawa kesan yang besar kepada ekonomi negara.

Kesimpulannya, kami mempunyai acara Formula Satu yang hebat tahun ini dengan respon yang hebat diberikan oleh penyokong dari seluruh dunia dan boleh dikatakan Singapura kembali ke landasan yang tepat,” katanya selepas perlumbaan.

Perlumbaan Grand Prix Singapura telah membawa pulangan lebih $1.5 billion dalam bidang pelancongan sejak kali pertama dianjurkan dan telah menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Grand Prix Singapura telah mengumumkan lanjutan kontrak selama tujuh tahun untuk menganjurkan Formula Satu Januari lalu menjadikannya antara lanjutan kontrak terpanjang dengan Formula One Group.

Ini dilakukan untuk meletakkan kembali Singapura sebagai destinasi perniagaan dan gaya hidup bagi memastikan negara ini kekal kompetitif untuk jangka panjang dengan STB dan Kementerian Perdagangan Dan Industri membelanjakan 60 peratus dari jumlah kos $135 juta untuk menganjurkan Grand Prix.

Konsert Marshmello selepas perlumbaan .

 

Selain dari perlumbaan, Grand Prix Singapura juga menarik minat pengunjung dengan membariskan pelbagai hiburan termasuk konsert dengan tahun ini menampilkan Green Day, Westlife dan Marshmello ditambah 75 lagi persembahan di lapan pentas sepanjang litar.

Pelumba Red Bull Racing, Sergio Perez muncul juara dengan dua pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Carlos Sainz melengkapkan podium dalam perlumbaan yang menarik dan dilangsungkan dalam keadaan basah akibat hujan lebat yang melanda Singapura sejak awal pagi.